

Gen Y congregates

Sponsors are people too...
Steadfast despite the rain
Dry T-shirt competition
24. 04. 2008
WUHUU 2008: Ekstasi Kirtana Seni dan Muzik Independen by Nur Hanim Khairuddin
Dari persembahan muzik, pameran seni hinggalah ke jualan merchandise dengan label-label tempatan, khalayak yang hadir pasti tidak cukup tangan untuk membelek ratusan produk-produk DIY hasilan anak-anak muda yang datang dari merata ceruk semenanjung. Sekitar 40 booth jualan memenuhi dewan yang diwakili antaranya oleh para pelajar jurusan seni Uitm Perak, Universiti Teknologi Petronas, label-label clothings seperti Dirt-tee, Brokenheart, Blacksheep, Gumbira dan Hysteria, di samping beberapa kelompok yang mendagangkan photo-shoot studio, tattoo sementara oleh Blizzart, zines dan segala macam bric-a-brac cenderahati.
Di bahagian foyer, khalayak dihidang dengan sedikit juadah visual dalam bentuk lukisan, seni cetak, seramik studio, mural dan instalasi. Tidak kurang menarik adalah aktiviti melukis mural oleh sekumpulan remaja yang menggelarkan kolektif mereka sebagai Eightyfourcube (menurut salah seorang ahlinya, nama kumpulan diambil sempena kelahiran semua ahli yang kebetulan jatuh dalam tahun yang sama). Karya seni cetak di atas kayu oleh Nornikman Yahya, bekas graduan UPSI Tanjung Malim bertajuk “Warung Laga” melagakan imej-imej pop dengan tradisional untuk memperkatakan pertembungan budaya yang memberi kesan terhadap jatidiri manusia Timur sementara lukisan bunga-bunga besar ala Georgia o Keefe dihasilkan Alina Abdullah. Sekumpulan pelajar grafik Uitm Perak yang menggelarkan diri mereka LimpahXruah menghadirkan instalasi lukisan-lukisan dan arca gantung yang menukar wajah ruang tersebut.
Seni Dada
Namun begitu, bahasa tampak yang paling menonjol sudah pastinya yang tertera di dada-dada remaja yang bangga menayangkan motif dan simbol segala macam kenyataan darah muda melalui rekaan-rekaan yang kreatif. Paling penting, mereka-mereka ini memperagakan produk-produk tempatan, sekaligus mengurangkan pemaparan jenama-jenama barat yang telah sekian lama meresapi gelanggang budaya kita. Trend menggabungkan elemen fesyen dengan persembahan muzik dilihat baru mula berkembang di Malaysia sejak dua tahun yang lalu. Ramai kumpulan anak-anak muda menanam identiti masing-masing melalui produk-produk seperti t-shirt, beg, topi dan seumpamanya yang kelihatan pop dan segar. Antara jenama yang sudah mendapat liputan media adalah seperti Pop Malaya, yang sering menggunakan elemen-elemen lokal di dalam rekaannya. Kombinasi budaya pop dengan klasik mahupun sejarah menjadikan hasilan karya mereka begitu dekat dengan kita. Wajah-wajah tokoh seperti P.Ramlee dan Tuanku Abdul Rahman seolah-olah mengambil alih imej-imej klise ikon Bob Marley dan renungan patriotisme Che Guevara.
Membaca imej-imej tampak yang melingkungi dunia tribalisme muzik menjadi penting demi memahami kategori dan nilai sub-budaya serta impak sosialnya. Imej-imej visual yang memaparkan perlambangan unik merupakan lambang-lambang spesifik yang menyimpul realiti kehidupan singkat anak-anak muda berasaskan genre muzik pilihan. Di sana disimbolkan identiti, di sana disimpulkan destinasi, yang sebelumnya cuma sembunyi-sembunyi dititip pada ritma bingit dan diselit pada lirik ‘cryptic’.
Rentak Hujan
Di luar dewan, beratus-ratus penonton merayakan pelbagai rentak dan ideologi muzik. Bersidai dan berdansa di bawah pancaran terik mentari siang hinggalah lenjun dibasahi hujan yang turun dari senja hingga ke akhir acara, remaja yang rata-rata straight-edge tersebut benar-benar menunjukkan sokongan kepada kugiran-kugiran indie kegemaran mereka. Antara band yang menonjol dan mendapat sorakan gemuruh adalah seperti Couple yang sudah mempunyai fan-base yang agak besar sementelah kejayaan mereka menerobos carta Billboard Amerika beberapa tahun yang lalu. Selain itu, kumpulan muzik seperti Second Combat, Cold Strorage, Romantic Fools Club, Gubnor dan Retrodelic mempersembahkan material mereka dengan cara dan gaya bermacam ragam. Kenangan rock 80an dibawa oleh Skin Theatre yang membuat persembahan mantap lagu-lagu rock klasik seperti “Seruan”, “Temple of the King” dan “Soldier of Fortune” dengan vokal yang memukau.
Namun, seperti yang dijangka sejak awal, sorakan paling gemuruh sudah pasti menjadi milik kumpulan Hujan yang kini menjadi semacam fenomena baru dalam industri muzik tempatan. Sejak awal tahun, wajah selamba vokalis Noh dan rakan-rakan Hujannya sudah menjadi cover kepada majalah-majalah muzik seperti Konsert dan ROTTW serta mendapat liputan luas di dalam pelbagai media harian. Hujan menampilkan killer songs mereka seperti “Pagi Yang Gelap”, “Bila Aku Sudah Tiada” dan “Ahmoi Cantik”. Semangat anti-perang yang kuat boleh dirasai melalui laungan Noh dalam lagu bertajuk “Ludah Amerika”. Jika ditelusuri tajuk ini dalam youtube, kita akan dapati kisah berkaitan peperangan yang ditunda dan menjadi permainan Amerika melandasi tema lagu tersebut. Mungkinkah semangat anak-anak muda menghasil dan menjadi konsumer produk dan label tempatan merupakan protes halus terhadap Bush dan sekutunya?
Bliss ala Ipoh
WUHUU 2008 telah membuktikan bahawa acara seumpama ini wajar diteruskan sebagai wahana selamat dan positif bagi ekspresi berontak jiwa muda selain sebagai pelantar baru untuk meraih pendapatan halal melalui jualan produk-produk seni. Dengan wujudnya gelanggang sebegini, gejolak perasaan dapat disalurkan melalui seni dan kreativiti. Walaupun mungkin pada segelintir masyarakat, mereka-mereka yang terlibat dikhuatiri menjadi polusi visual (melalui pakaian dan identiti visual segelintir yang ‘over’) namun melepaskan remaja di lapangan ini dijamin lebih terpelihara dari membiarkan mereka mencari ‘bahagia’ yang melata. Kalau nak tahu, Ipoh itu sememangnya ‘WUHUU’!
~
Nur Hanim adalah seorang pelukis yang tidak prolifik, penulis dan kurator bebas. Menjadi ‘mak guard’ di YKP (http://www.rumahykp.org.my) dan kini mencuba-cuba bakat dalam bidang penerbitan buku-buku seni.
User Comments
| No Comments |
Related Links
print | e-mail to a friend | post comment




