search web kakiseni
[ go ]

member login

register now | why register?
registration/login problems?

BOH Cameronian Arts Awards

"Adventure can be an end in itself. Self-discovery is the secret ingredient that fuels daring."

- Grace Lichtenstein

Notice Board

Femes talent

Looking for a female vocalist/ guitarist

Design + printing service

Professional photo editing available

Indian &malay gals wanted to act along bollywood stars

Urgenttlyyy needed a bass player!!!!!!

Day, night & bridal make-up on www.surayanuar.com updated!

P ramlee the musical ticket

"sessionist services" / wanted urgently !""female pianist cum singer&female singer cum guitarist"

"personal music class "(klang&petaling jaya only)&"2 / 3 /4 piece acoustic band for live shows or events"

You are not logged in.
articles

The Matahati Collective.

 View on a single page

26. 03. 2008
For Your Pleasure: Kemuncak Nikmat Kesenian Matahati by Nur Hanim Khairuddin

MATAHATI -- sesiapa sahaja yang bergelumang dalam bidang seni tampak negara sudah tentu sahaja sedar akan kehadiran sekumpulan 5 orang pelukis ini. Bermula dengan semangat setiakawan sewaktu belajar di UiTM Shah Alam dalam jurusan Seni Halus (1987), kini ianya berkembang menjadi sebuah kumpulan seni yang mapan dan sering dibicarakan. Segelintir menggelar mereka sebagai ‘rock-stars of the art scene’ dengan sejumlah ‘groupies’ yang terdiri dari pelbagai strata masyarakat.

Namun begitu, MATAHATI yang mula ditubuhkan sejak 1989 ini tidaklah  secara terus berada pada tahap selesa seperti yang kelihatan sekarang ini. Sepertimana seniman berkumpulan yang lain, mereka turut melalui fasa-fasa yang menggusarkan; dengan ahli-ahli yang masuk dan menghilang, dengan situasi seni tampak negara yang timbul tenggelam, dengan dugaan-dugaan berhadapan dengan kehendak menjadi seniman sepenuh masa dan keperluan untuk tunduk kepada komersialisme demi survival dan bermacam renyah lagi. Tenaga serta kesungguhan mereka untuk terus meredah cabaran berkumpulan akhirnya membuahkan sebuah kejayaan yang bermakna dengan penganjuran pameran berskala mega oleh Galeri PETRONAS pada tahun ini.

Pameran yang menggunakan khidmat June Yap, kurator undangan dari Singapura, dijalankan di bawah tajuk utama For Your Pleasure menampilkan sejumlah besar karya-karya  terpilih MATAHATI. Karya-karya penting dan ikonik Ahmad Fuad Osman, Ahmad Shukri Mohamed, Bayu Utomo Radjikin, Hamir Soib @ Mohamed and Masnoor Ramli Mahmud memenuhi 4 ruang seni yang aktif di Kuala Lumpur iaitu di Galeri Petronas sendiri, The Annexe Gallery, House of MATAHATI (HOM) dan 12 Art Space Gallery. Setiap tempat menetapkan tema yang berlainan dimulai dengan “Detik-detik Permulaan, Pengembangan dan Eksplorasi, Kemanusiaan dan Kemasyarakatan, “Seni dan Kehidupan di Malaysia Masa Kini”, “Diri dan Penampilan” hinggalah “Pengupasan Isu Melalui Seni”.

For Your Pleasure adalah sebuah pameran bercorak ‘tinjauan’ yang mempertontonkan sebuah naratif panjang penglibatan awal MATAHATI hingga kini. Karya-karya yang dipamerkan mewakili pemahaman serta intuisi mereka tentang nilai identiti, perwakilan, kemanusiaan, komuniti, tanggungjawab sosial serta agama, dalam trajektori yang bercapah.

takadabeza_matahati_main.jpegKarya “Tak Ada Beza” (2002) Hamir misalnya mengangkat isu sosial pengguguran anak oleh manusia-manusia binatang. Instalasi selonggok gumpalan tali pusat bayi yang jasadnya diperosok ke dalam mangkuk tandas diiringi catan yang menunjukkan sekeluarga haiwan (babi/khinzir) berhimpun dengan harmonis, menggambarkan ironi tentang sifat manusia yang lebih buruk dari binatang tak berakal.

Aspek prinsip dan pegangan setiap ahlinya yang menggemakan sikap multi-disciplinary, diserlahkan melalui catan-catan dua-dimensi hingga ke seni pemasangan, seni persembahan dan karya-karya video. Respons mereka terhadap isu-isu semasa seperti konflik peperangan, bencana alam, keganasan domestik dan kemelut politik samaada di dalam mahupun di luar negara dapat dikesan dengan jelas di dalam hampir keseluruhan karya mereka.

one_dollar_matahati_main.jpegAntara isu global yang diteroka seperti diskriminasi dunia pertama terhadap dunia ketiga boleh dibaca melalui karya Masnoor Ramli “One Dollar One Dollar”(2008). Imej wang Dollar Amerika Syarikat ditempel dengan dua figura kanak-kanak Asia. Anak-anak kecil di negara miskin dijadikan buruh, peminta sedekah dan pelacur untuk mencari sesuap nasi sedangkan berbilion saham negara-negara maju disalahguna untuk projek-projek peperangan dan penghancuran alam.

Pengadunan semiotik dari konteks lokal dan asing di dalam karya-karya merupakan kemahiran setiap ahli. Kebiasaan mereka mencetus perdebatan dan wacana yang berkisar dengan subject matter yang retorikal, sinikal dan satira boleh dianggap cemerlang.

Ketika gagasan Akar-akar Pribumi dan penerapan nilai Islam-Melayu menjadi tajuk perbincangan negara bermula 1971, mereka masih bertatih lagi. Namun begitu, setelah hampir 20 tahun, tempias serta impak dari revivalisme tersebut masih menghantui dan memberi tekanan kepada mereka untuk menghasilkan karya-karya yang secara terangan boleh menyanggah ideologi tersebut. Pendekatan estetik yang menggarap figuratif realis susuk manusia dicanangkan sebagai bersifat memuja dan mengabadi diri, ditegah oleh peradaban Islam dan akalbudi Melayu.

Karya Bayu bertajuk “Hening” (1988) menunjuk dengan jelas tentang rasa tidak jelas yang hadir dicabinet_series_matahati_main.jpeg kalangan pelukis sepertimana yang diperkatakan di atas. Catan bersifat mujarad (abstrak) yang dihasilkan ketika tahun keduanya di UiTM, memaparkan imej-imej kubah dengan bulan sabit yang tipikal bernuansa Islamik. Sementara Hamir melalui “Landscape Series” (1993) dan Fuad melalui “Lost Series” (1993) mengadaptasi sentuhan abstrak Awang Damit, Masnoor pula mengeluarkan arca dinding bingkaian-bingkaian berkerawang dalam siri “Sign of Life” (1994). Walaupun di tahun-tahun awalnya Ahmad Shukri telah mula melukis wajah-wajah manusia, siri “Cabinet” (1991)nya sarat dengan motif-motif batik dan kraftangan Melayu walaupun beliau sudah mula menyuntik objek-objek kistch seperti patung ninja turtle dan ultraman.

Namun bagi MATAHATI, sepertimana kebanyakan pelukis muda dekad akhir 80an dan 90an yang mulai terdedah kepada budaya visual yang lebih lantang, rasionaliti mengangkat figura manusia tidak berasaskan niat mengagung, memberhala atau mempromosi diri. Penampilan figura dengan pelbagai sentuhan adalah wahana paling sesuai untuk mentebarluas persepsi mereka terhadap penyaksian serta rakaman sesebuah peristiwa di dalam zamannya.

Persoalan imej dalam seni tampak tidak seharusnya cuma berlegar sekitar persoalan haram-halal, tetapi menjurus kepada menilai aksi ideologikal dan keberkesanannya mengungkap inti kehidupan selari dengan konteks yang ada. Perwakilan diri hanyalah semata lambang sejagat kewujudan manusia. Justeru itu, karya-karya yang dihasilkan selepas itu mula menunjukkan sikap berani mereka melangkah sempadan nilai seni yang dianggap lebih normal. Imej-imej makhluk hidup ditonjolkan dengan tegas, tanpa ragu-ragu dan melaungkan sesuatu yang besar untuk difikirkan khalayak.

Kesungguhan MATAHATI untuk mengetengahkan karya-karya yang memberi tanda-tanda penting dan ilmu-ilmu baru kepada audiensnya tidak harus dipandang remeh. Mereka sesungguhnya telah melalui pengalaman yang begitu hebat dan menjadi juara dalam bidang penciptaan sejenis revolusi untuk diri mereka mahupun untuk sejarah seni tampak negara sendiri. Sejak dua tiga tahun kebelakangan ini, peranan MATAHATI dilihat semakin berkembang daripada hanya menjadi penggubah visual semata. Pada tahap ini, mereka menyumbang kembali kejayaan kepada seniman-seniman muda melalui siri pendidikan dan bengkel seni, siri pertukaran residensi, pembukaan Galeri HOM yang menampilkan bakat-bakat baru dan paling terkini, penubuhan Tabung Seni MATAHATI yang menjana dana untuk menyokong penganjuran seni yang melibatkan komuniti tempatan.

Pameran For Your Pleasure memberi peluang kepada khalayak untuk meninjau semula karya-karya awal MATAHATI yang mungkin terlepas pandang sebelum ini. Dengan terbitnya buku khas sempena pameran ini, dokumentasi dan analisa lengkap tentang MATAHATI akan menjadi bahan rujukan yang sangat bermanfaat kepada orangramai hendaknya. Syabas kepada semua yang terlibat dalam For Your Pleasure.

~

Nur Hanim adalah seorang pelukis yang tidak prolifik, penulis dan kurator bebas. Menjadi ‘mak guard’ di YKP (http://www.rumahykp.org.my) dan kini mencuba-cuba bakat dalam bidang penerbitan buku-buku seni.

MATAHATI : For Your Pleasure
akan tutup pada 13 April 2008. Maklumat mengenai pameran ini di sini

Baca ulasan Rachel Jena mengenai MATAHATI : For Your Pleasure di sini

 View on a single page

User Comments

posted by multhalib, Sat 05.04.200813:57:01 PM
yeah, there's many sites where u can translate languages.. and get the book!

 

posted by minah saleh yakop, Fri 28.03.200820:20:24 PM
try babelfish?

 

posted by mat salleh, Thu 27.03.200810:18:40 AM
I've been to two of the four venues (so far) for this exhibition and think it's a fantastic show. As a non-local I'd really like to read this article in English - any chance of a translation?

 

Related Links

    print | e-mail to a friend | post comment