





09. 04. 2003
Wak Khalid : Teh Tolak by Faisal Tehrani
Teh Tarik arahan aktivis teater Khalid Salleh masih dipentaskan di auditorium DBKL hingga 11 April 2003. Reputasi beliau sebagai pengkritik teater, budayawan, pelakon filem (memenangi anugerah Panca Delima sebanyak dua kali kalau tidak silap saya dan ini tidak termasuk di peringkat Asia Pasifik menerusi Jogho), serta penulis naskah menjadikan perhatian kepada kerja-kerjanya amat besar. Tetapi bukankah kita juga pernah mendengar dari seorang pengarah besar yang sering bekerja dengannya, menjadi pelakon yang baik belum menjamin untuk menjadi pengarah yang baik juga.
Sebetulnya saya cuba mengambil kira Teh Tarik menggunakan pendekatan ‘teater miskin’. Dan saya amat sedar seorang pengamal teater hanya perlu cukup memahami yang tiga tunjang sahaja sudah memadai untuk satu pementasan. Pertama naskah, kedua pelakon dan ketiga pengarah. Tempat pementasan tidak penting – ia boleh berlaku di mana sahaja. Kostum – juga bukanlah keutamaan. Set dan penataan cahaya – ya jika ada apa salahnya, jika tiada tidak menjadi masalah. Gerakan theatre of the oppressed seperti yang dikemukakan oleh Boal, gerakan teater ridiculous oleh Charles Ludlam, ini tidak termasuk juga kumpulan-kumpulan yang mekar dalam sejarah seperti T.O.C di London, Christianshavnsgruppen di Copenhagen, Orbe-Recherche di Paris, kumpulan keliling Bewegingstheater yang dipimpin Frits Vogel, kumpulan Agitprop yang mementaskan teater di luar kediaman di London atau Gruppo Sperimentazione Teatrale di Rom semuanya mempunyai persamaan yang jelas, salah satunya ialah mereka mengabaikan banyak perkara dalam teater dan hanya menumpukan kepada tiga perkara seperti yang disebut di atas. Malah terkadang naskah dan pengarah itu sendiri diabaikan.
Melihat kepada pementasan yang dikemukakan oleh Khalid, ternyata beliau cuba menyarankan aliran pementasannya sebagai realisme. Saya cuba melihat naskah sebagai taruhan utama. Ia sepatutnya menjadi sesuatu yang menarik kerana membicarakan survival usahawan Melayu. Maaf, jika saya katakan naratifnya amat lemah dan bercabang-cabang tidak berfokus. Salah satu kekurangan naskah ini ialah ia lewah. Perhatikan sahaja kepada dialog-dialognya yang lewah tiada kerelevanan, adengan yang tidak membantu perkembangan cerita. Idea-idea Khalid yang bersimpang siur itu bagaikan mahu dituang semua sekali. Maka di tengah-tengah ceceh tentang pertandingan teh tarik ia menggelincir mengomel tentang program kemasyarakatan, tentang kemiskinan budaya, tentang semangat, tentang pelacuran, tentang penagihan dadah dan secara tiba-tiba ustaz yang keluar mengingatkan hal-hal syurga dan neraka. Adengan-adengan terlalu lewah dan tidak perlu seperti penyampaian hadiah, mimpi majlis perkahwinan Sharifah Shahira dan Supaat, atau Aisyah dan Sani menyanyi dangdut! Kerana lewah dan leter yang melalut dan meleret ini, naskah gagal memegang konsentrasi penonton.
Lakonan Zami Ismail dan Sani Sudin sebetulnya baik dan efektif tetapi skrip tidak membantu mereka sama sekali. Begitu juga Heryanto menampakkan keberkesanan tetapi watak dan perwatakannya itu sendiri amat lemah. Pengabaian pembinaan watak misalnya menjerumuskan kepada kegagalan di peringkat teks lagi. Usaha membawa Aisyah ke pentas teater amatlah mengecewakan. Beliau malah kelihatan tidak yakin dengan pentas (sesuatu yang amat basic) dan ini menampakkan beliau tidak relaks. Bukan itu sahaja, pada adengan beliau sebagai Sharifah Shahira melawat tempat pertandingan di Padang Merbok bersama Tengku Halim, posisi beliau ialah di kedudukan 3 dan 5 1, antara posisi yang lemah kerana hanya menampakkan sisi wajah dan tubuhnya sahaja dan ini tidak mengimbangi kedudukan Zami dan Sani serta Heryanto dan pembantunya yang menghadap penonton. Artikulasi watak Peah pula tidak seperti yang diharapkan dan nada yang beliau beri pada lakonannya adalah sama sepanjang persembahan.
Mise en scene turut menampakkan kekakuan. Ambil kira sahaja mekap isteri Supaat, Peah yang kurang menjadi atau isteri Zami Ismail. Atau penataan cahaya yang lebih kepada umum sepanjang masa. Penataan cahaya yang baik dan efektif sebenarnya dapat menutup kekosongan pentas. Adengan Tengku Halim dan Sharifah Shahira berleter di Padang Merbok sebagai contoh jika dihadkan penggunaan cahaya pada satu-satu sudut tertentu akan membantu mesej disampaikan dengan lebih bergaya selain mengangkat elemen dramatik dan ‘mengindahkan ilustrasi’ persembahan secara keseluruhan. Malangnya penataan cahaya tidak membantu semua ini dan tambah menghampakan saat adengan perkahwinan (yang sebenarnya mimpi) ia tidak tersebar dengan rata dan menimbulkan kekelaman menutup wajah pelakon.
Lain dari itu saya juga kecewa dengan resolusi naskah yang amat pesimistik. Supaat dan Wak Nen dikecewakan dengan hakikat pertandingan teh tarik tidak akan dianjurkan (kerana wang dilarikan penganjur) di sebalik segala cakap-cakap tentang survival umat Melayu, tentang semangat, tentang pembinaan budaya dan segalam macam leter tentang masalah sosial tadi. Cara penghabisan yang negatif begini tidak harus berlaku. Saya lebih rasa dihormati sebagai orang Melayu jika Supaat masuk juga pertandingan tersebut tetapi tewas. Ini bukan teh tarik tetapi teh tolak!
Wak Nen yang dilakonkan oleh Zami Ismail mengingatkan Supaat dalam salah satu dialognya (mungkin juga ingatan untuk khalayak) – Entah apa pulak buah butirnya. Banyak ke sikit ke, engkau sendiri yang timbangkan…
Ya, terlalu banyak ‘bahan tak perlu’yang disumbatkan oleh Khalid dalam satu tauhu berjudul Teh Tarik. Tak tersaring dek khalayak yang sudah jemu dan letih, mungkin yang tertangkap bagi sesetengah orang, ialah mesej anti perangnya yang terselit tanpa begitu disedari penonton. Inilah satu contoh, kaedah menghantar mesej tanpa perlu memaksa seperti seorang ustaz mengingatkan muridnya tentang tiupan sangkakala.
Nota Hujung:
1Posisi pelakon di atas pentas amat menjamin keberkesanan pementasan. Ia menjadi antara pelajaran utama untuk pelajar-pelajar subjek pengarahan seperti yang ditekankan oleh Robert Cohen dan John Harrop dalam Creative Play Direction, (New Jersey: Prentice Hall, Inc., 1984), halaman 163.
User Comments
| No Comments |
Related Links




