


19. 08. 2003
Sudah Tidak Gedebe by Faisal Tehrani
Lama dahulu, sebaik sahaja selesai menonton Gedebe di Panggung Eksperimen, saya menelefon Jenny Daneels, juga beberapa teman menganjurkan mereka segera menonton Gedebe arahan Nam Ron. Gedebe saya kira adalah antara karya beliau yang terbaik. Malah, ia menggerakkan teater Melayu ke satu takah baru. Saya mencurahkan segala pujian (kerana ia memang layak dipuji). Kemudian Nam Ron saya dengar diberi peluang untuk memindahkan Gedebe ke medium filem. Saya beritahu beliau, kegusaran saya ialah sebahagian besar pesona di pentas yang tercipta akan menghilang begitu sahaja di skrin.
Jangan banding, teater adalah teater, filem adalah filem begitu tertera ‘saranan’ pembikin filem Gedebe kepada penonton (atau pengkritik). Jika Gedebe sebagai sebuah drama adaptasi buah tangan Shakespeare dilihat dari perspektif karya atau teks sastera maka tidak ada sebab mengapa saya tidak boleh membandingkan ia dengan medium barunya iaitu filem. Malah ada disiplin khas untuk membandingkannya, itulah sebahagian dari tuntutan sastera bandingan.
Ini bukan kali pertama teater diubah menjadi filem. Karya-karya Tennessee Williams berlambak dijadikan filem. Begitu juga karya Arthur Miller dan berapa ramai lagi. Dan ada banyak juga senarai karya yang berjaya di pentas dan berjaya juga di skrin sebagai filem. Streetcar Named Desire satu contoh, The Crucible contoh yang lainnya dan senarai memang panjang. Sebahagian besarnya ialah realisme dan menjadi genre yang sama di skrin.
Untuk mereka yang telah menonton Gedebe di pentas, tidak dapat tidak menilai dan membandingkan dengan versi barunya di skrin. Terutama jika audien tersebut memang dapat menikmati sepenuhnya ‘kegedebean’ Gedebe waktu itu.
Gedebe sebagai sebuah filem telah kehilangan pesonanya malah keunggulannya dari segenap segi. Bahasa teater dan filem berbeza. Bahasa filem merangkumi tiga perkara paling asas. Apa yang difilemkan atau mise en scene, bagaimana ia difilemkan atau sinematografi dan bagaimana ia diletak bersama, dijukstaposisikan atau editing. Ruang filem kalau begitu sangat terhad. Hanya dalam frame, dan begitu jauh dari khalayak. Sedang pentas menyediakan satu gambaran yang luas, langsung serta tidak terbatas. Maka pentas ternyata lebih unggul dari filem dalam hal memberi kesan langsung kepada penikmat. Pentas adalah gumpalan seni, filem adalah gumpalan teknik. Gumpalan teknik yang tidak dapat dilerai dengan baik dan bergumpalan hanyalah akan menjadikan filem itu satu gumpalan sia-sia.
Gedebe setelah mengalami proses transformasi pentas ke filem telah kehilangan banyak perkara. Bentuk eksperimental dan garda depannya yang membungkamkan khalayak waktu dipersembahkan (adengan slow motion bertumbuk, naratif jungkir balik tanpa closure yang jelas, juga adengan catwalk dan prolog di luar panggung yang menarik perhatian telah pupus), sedangkan ia adalah pesona yang memberi ‘rasa’ kepada khayalak. Baiklah, hujah yang sama – filem lain.
Sebagai sebuah drama garda depan yang bermain-main dengan teknik dan membolak-balikkan naskah Julius Caesar, di filem ia menjadi leteran tidak berhujung dan meletihkan. Rentak sebagai sebuah drama yang pantas serta menggamamkan juga hilang begitu sahaja. Di filem ia menjadi sebuah karya yang memualkan dan lembap. Mujur inti sebenar Gedebe di pentas iaitu kelicikan politik dan kegilaan pemimpin dapat dipertahankan degan baik.
Satu-satunya adengan yang memberi ‘rasa’ di filem ialah punk gemuk dengan burger dihentam dan dibelasah. Memang gaya visualnya, audio dan cahaya amat mentah dan kasar sesuai dengan tuntutan Gedebe yang menampilkan kegilaan berpolitik dan kerancuan budaya punk, tetapi kesan unik Gedebe sebagai sebuah karya teater (sastera juga) telah hilang dalam gumpalan teknik. Mentah cantik, kasar halus Gedebe di pentas menjadi gumpalan teknik yang sekadar mentah dan kasar begitu sahaja.
Sebahagian kekuatan lakonan Mohd Ezzandy dan Zulhuzaimy Marzuki juga hilang. Zul, kelihatan meyakinkan bermonolog tanpa baju di pentas. Ekspresi mukanya, lirik mata dan tutur bicara Zulhuzaimy sangat mengganggu khalayak versi pentas. Helah licik Ezzandy serta telo Kelantannya menggugupkan audien waktu di pentaskan juga hilang di filem. Di pentas pelakon dapat dinilai seluruhnya, sedang di skrin ia terhad. Amat terhad hinggakan kata Marlon Brando, sesiapa sahaja boleh berlakon filem tetapi hanya pelakon teater dapat melakonkan watak di pentas. Malah pada sisi tertentu Zulhuzaimy dan Ezzandy kelihatan bodoh dan memperbodohkan diri pada versi filemnya.
Pun kerja editing telah banyak menyelamatkan Gedebe di filem, kerja Dan DFX menunjukkan beliau tahu bermain space-time continuum yang dikerjakan dengan sederhana tetapi baik. Kata-kata Lev Kuleshov yang filem bermula apabila pengarah mengatur dan menyambung bahagian-bahagian terpecah dari filem, menunjuk kebenaran di filem cuma versi pentasnya jauh lebih memberi nikmat berbanding versi filemnya. Ini kerana di pentas, penonton disuruh berfikir, di filem, Gedebe ternyata menyarankan kesudahannya. Penonton dipuaskan dengan hakikat pertelingkahan dalaman puak punk tersebut tidak lebih satu sandiwara politik.
Saya juga ingin memuji Yin yang bertanggungjawab untuk muzik di dalam filem ini. Filem disegarkan oleh muzik-muzik keras dari grup underground tempatan di mana sebagai elemen diegetic dan non-diegetic sound telah ditangani dengan baik. Kehadiran muzik telah benar-benar memberi ‘rasa punk’ kepada Gedebe.
Saya tahu beza medium pentas dan filem. Hujah filem adalah filem dan teater adalah teater terpakai tetapi jangan dipaksakan. Sebagai filem, Gedebe adalah gumpalan teknik yang mengecewakan. Maka saya masih memilih Gedebe sebagai gumpalan seni yang mengesankan. Namun tidak adil untuk saya mencegah khalayak pergi menonton Gedebe, pergilah beramai-ramai, ia hasil pertama Nam Ron di filem dan sokonglah filem independen tempatan (terutama kalau saudara muak dengan filem Melayu berjarum (pun ada punk yang menghasut di sini), bergerak Khas (polisnya dicemuh budak samseng jalanan) dan kisah-kisah Janji dari seorang gadis bernama Diana). Ia ditayangkan hingga 25 Ogos 2003 di DBP. Untuk maklumat lebih lanjut sila klik rangkai di bawah.
User Comments
Related Links
print | e-mail to a friend | post comment




