



07. 08. 2003
Ulasan Demang Lebar Daun by Nizam Zakaria
Nama Demang Lebar Daun bagi saya sinonim dengan cerita penemuan Singapura oleh Sri Tri Buana atau Sang Nila Utama (di mana, kalau tidak salah saya, Dalam teks Sejarah Melayu tidak disebut pula nama Parameswara). Dalam cerita lama ini, Demang Lebar Daun adalah mertua kepada Sri Tri Buana, seorang raja dari Palembang yang dikatakan berketurunan Iskandar Zulkarnain. Beliaulah yang telah memberitahu Sri Tri Buana nama haiwan yang dilihat oleh mereka adalah seekor singa, lantas baginda menamakan Temasik kepada nama barunya, Singapura.
Dalam manifestasi lain pula, terdapat satu cerita mengenai teori kewujudan bangsa Melayu, di mana seorang raja dengan nama Demang Lebar Daun (Salasilah Raja-raja Melayu dikatakan bermula darinya) yang berasal dari Andelas (sekarang dikenali dengan nama Sumatera). Asalnya raja Andelas ini daripada anak cucu Raja Suran dari Muara Tatang, di hulu Muara Tatang itu ada sebuah sungai, Melayu namanya.
Pada hemat saya, watak ‘Demang’ dalam drama muzikal ‘Demang Lebar Daun’ yang telah dipersembahkan oleh Kumpulan Seni Persembahan Petronas di Dewan Filharmonik Petronas (DFP) baru-baru ini tidak banyak menyentuh tentang kisah Demang dan Sri Tri Buana yang ternampak kelibat Singa di Temasik. Hanya sebahagian dari cerita ‘Demang Daun Lebar’ yang diambil dari manuskrip Sejarah Melayu ini telah diadaptasi, diolah dan disesuaikan untuk sebuah persembahan muzikal.
‘Demang Lebar Daun’ mengisahkan tentang seorang raja (Ayub Md Tshir) yang tidak dikurniakan dengan sebarang zuriat walaupun telah lama berkahwin dengan Tunku Permaisuri Cendani Saliza Ali). Akhirnya, baginda diberitahu oleh Wak Nujum Istana (Ramshi Huzaireen Baba) bahawa Permaisuri akan melahirkan seorang puteri, tetapi segala jenis bencana akan datang menimpa. Walau apa pun bakal terjadi, baginda berkeras mahu memastikan agar permaisurinya dapat melahirkan anaknya dengan selamat, maka baginda dengan bantuan Datuk Bendahara (Nurdjajadi Jasan) membawa permaisuri jauh dari istana. Tetapi seperti yang telah diramalkan oleh Wak Nujum, permaisuri mangkat setelah melahirkan puterinya. Untuk memastikan keselamatan puterinya ini, baginda telah meminta agar puterinya, Radin Ratna Cendera Puri atau Wan Sedari (Nutisma A. Wahab) disembunyikan dan diasuh oleh Inang (Hasnita Othman) bersama dua orang anaknya...
Pada hemat saya, walaupun DFP telah dibina dengan akustik yang baik, (mungkin yang terbaik di Asia Tenggara) tetapi ia tidak dibina untuk persembahan teater. Bahagian pentasnya agak kecil. Aspek pemfokusan cahaya juga tidak dapat dipraktikkan dengan sebaiknya, memandangkan sudut-sudut lampu agak terhad. Kerana pentas agak kecil, tidak banyak yang dapat dilakukan untuk menyediakan sebuah set yang menarik.
Set yang digunakan untuk drama muzikal ‘Demang Lebar Daun’ sememangnya agak ringkas. Yang ada adalah rekaan ‘pohon beringin’ – yang sering digunakan oleh Dalang, yang melambangkan gunung yang tinggi dan berbentuk seperti sehelai daun. Tetapi apa yang menarik mengenai rekaan pohon beringin yang digunakan dalam ‘Demang Lebar Daun’ adalah penggunaan bulan dan matahari untuk melambangkan pengaruh Islam dalam sesuatu yang jelas mempunyai asal-usul pengaruh Hindu.
‘Pohon beringin’ ini juga telah digunakan sebagai props dramatari dalam pementasan ini. Penggunaannya menarik, penuh simbolik dan mungkin sebab itulah set agak ringkas.
Saya kurang faham mengapa terdapat layar besar di atas pentas. Layar tersebut dibiarkan kosong dan kurang digunakan, kecuali dalam adegan kemunculan Nila Utama, Nila Pandita dan Nila Pahlawan di Bukit Si Guntang; di mana dipancarkan cahaya kuning ke atas layar untuk menunjukkan tanah berhuma itu menjadi warna keemasan di mana padinya berbuah emas dan berdaun perak. Pada lain-lain masa, layar nampak kosong. Saya kira, ada baiknya jika layar ini ditutup tatkala ia tidak digunakan.
Hal penataan cahaya pula sememangnya tidak boleh dibandingkan dengan apa yang ada di Istana Budaya atau mana-mana pentas yang telah dikhaskan untuk persembahan teater. Apa yang ada telah digunakan dengan sebaiknya, walaupun impak maksimum sebuah teater konvensional mungkin tidak dapat dikecapi melalui persembahan ini. Perkara ini tidaklah begitu menjengkelkan saya, memandangkan warga kerja produksi ‘Demang Lebar Daun’ telah melakukan sebaik mungkin untuk menggunakan prasarana lampu yang ada di dalam DFP seefisien mungkin.
Pada persembahan hari Sabtu yang telah saya saksikan, terdapat banyak kesilapan teknikal yang mampu menganggu konsentrasi penonton. Salah satu darinya adalah sistem audio yang selalu mendatangkan masalah. Mikrofon sering kali berdentum kuat. Saya kurang mengerti mengapa sistem pembesar suara digunakan, sedangkan akustik DFP sudah cukup baik untuk membolehkan para penonton mendengar suara serta nyanyian para pelakon dengan jelas.
Lakonan para pelakon agak sederhana. Dari segi vokal pula, tidak ada yang saya fikirkan menyerlah. Banyak kali rasanya, rentak tarian dan nyanyian menggamit rasa nostalgia filem-filem Melayu, terutamanya lagu-lagu hasil komposer Zubir Said yang pernah mewarnai filem-filem lama kita dengan lagu-lagu yang mengasyikkan. Di sini saya ingin mengambil kesempatan untuk memuji nyanyian Mak Inang (Haznita Othman) yang telah menyanyi tatkala bersimpuh, bukan satu perkara yang mudah dilakukan, tetapi dapat dilakukan olehnya dengan baik.
Koreografer Che Hassan Yahaya tidak banyak bereksperimen dengan gerak langkah tarian yang baru seperti mana yang pernah dilakukan melalui hasil kerjanya yang lebih awal seperti ‘Malim Deman’ dan ‘Puteri Santubong’. Dalam ‘Demang Lebar Daun’, tak ada gerak tari yang saya fikirkan ‘groundbreaking’. Kemunculan Bidan Tujuh Beradik, dengan gerak tari yang mempunyai sedikit kelainan berjaya menimbulkan suasana penuh misteri lantas memecahkan suasana konvensional yang menyelubungi muzikal ini.
Bagi saya, persembahan muzik latar yang telah di susun oleh Faizal Uzir yang bertindak sebagai Pengarah Muzik merupakan aspek yang terbaik dalam persembahan ‘Demang Lebar Daun’. Malah tidak salah jika saya katakan bahawa hasil kerjanya mengagumkan. Saya cukup senang dengan fusion lagu keroncong dan rentak lagu-lagu rakyat yang kadangkala diselang-selikan dengan alatan muzik moden dan eksotik seperti didgeridoo yang digunakan oleh kaum pribumi Australia. Mungkin lagu-lagu yang dinyanyikan tidak begitu menyerlah, (kecuali lagu solo yang dinyanyikan oleh Permaisuri Cendani dengan Demang pada babak kedua persembahan) tetapi komposisi muzik ‘incidental’ memang bagus, malah saya tidak akan keberatan membeli soundtrack ‘Demang Lebar Daun’ jika ia ada dijual...
Arahan Roslee Mansor bagi saya agak terikat kepada satu hasil kerja yang diharapkannya dapat membuat khalayak penonton arus perdana memahami kisah klasik Melayu tanpa perlu banyak berfikir melalui genre muzikal. Kebolehan Roslee Mansur sebagai seorang pengarah berkaliber memang tidak boleh dinafikan lagi, kerana teks kitab klasik bukan senang untuk dipersembahkan. Walaupun begitu, persembahan ‘Demang Lebar Daun’ bagi saya terlalu konvensional, sehingga tidak ada rasa kepuasan yang timbul dalam diri saya setelah menonton muzikal ini. Mungkin di lain masa, Roslee perlu menumpukan lagi aspek koreografi, lakonan serta set pentas untuk memperbaiki persembahan ‘Demang Lebar Daun’ ini.
Teks cerita ‘Demang Lebar Daun’ ini rasa saya telah diolah dan disesuaikan dengan suasana kontemporari. Perkara ini saya lihat seperti telah menjadi trend di Malaysia, apabila terdapat pergerakan untuk menulis balik fakta sejarah, lantas melihat sejarah dari satu sudut yang lain. Jalan ini telah diambil oleh Zahari Hamzah, anak didik kepada Dato’ Shahnon Ahmad. Langkah untuk menterbalikkan semula jarum jam peradaban, mungkin satu proses evolusi budaya yang terpaksa kita terima; bahawa budaya sememangnya dinamik dan sentiasa berubah mengikut keadaan dan kehendak semasa.
Maka lahirlah naskhah ‘Demang Lebar Daun’ sebagaimana dipersembahkan oleh Kumpulan Seni Persembahan Petronas. Cerita ‘Demang Lebar Daun’ jika dikupas, membawa pelbagai pesanan dan persoalan. Salah satunya mengenai soal sosio-politik Melayu sendiri. Seorang pemimpin perlu mempunyai jati diri yang kuat dan teguh. Ia perlu bijak dalam hal-hal memerintah, tetapi tidaklah sampai ke tahap untuk mengagungkan dirinya sehingga sukar memahami kehendak rakyat jelata. Dan yang paling penting, kontrak sosial di antara seorang raja Melayu dengan rakyat jelata. Dalam teks asal Sejarah Melayu, ada dinyatakan "do and don'ts" seorang raja kepada rakyatnya, sebagai contoh, Raja-raja Melayu perlu berjanji untuk "tiada pernah memberi aib pada segala hamba Melayu, jikalau sebagaimana sekalipun besar dosanya tiada diikatnya dan digantungnya dan difadihatkannya dengan kata yang jahat". Seorang rakyat pula, tidak dibenarkan untuk menderhaka kepada raja dalam apa keadaan sekalipun.
Persoalan-persoalan seperti ini perlu kita kaji sekali lagi dengan mendalam, walaupun ia dipersembahkan dalam satu genre yang menghiburkan seperti sebuah persembahan muzikal ...
Nizam Zakaria adalah seorang penulis kelahiran Singapura yang kini sedang mencari makan sebagai penulis sepenuh masa di Kuala Lumpur. Beliau telah mendapatkan pendidikan awalnya di Malaysia, kemudian di Singapura dan seterusnya di Amerika Syarikat. Sebagai seorang peminat seni, beliau sering menghabiskan wang dan masanya dengan menonton wayang, teater dan membaca buku.
User Comments
| No Comments |
Related Links
print | e-mail to a friend | post comment




