search web kakiseni
[ go ]

member login

register now | why register?
registration/login problems?



BOH Cameronian Arts Awards

"A new idea is delicate. It can be killed by a sneer or a yawn; it can be stabbed to death by a joke or worried to death by a frown on the right person's brow."

- Charles Brower
You are not logged in.
articles

 View on a single page

19. 02. 2003
Perjuangan Shahriman Yang Belum Selesai by Nur Hanim Mohamed Khairuddin

Pendeknya, realiti hidup ini adalah penyataan tentang perjuangan. Begitulah di antara ungkapan filosofikal pengarca kontemporari yang masyhur dengan karya-karya logam besi penuh brutal dan 'berhantu'. Penulis seni Ooi Kok Chuen di dalam New Straits Time, 1996, dengan merujuk kepada karya Raja Shahriman, berkata, " His macabre creations are something else, looking like a cross between Robocop and the creatures of the cinematic Aliens - some absurd monstrous mutations that could not have come from a mild-mannered, small-built person like Raja Shahriman." Adalah sangat menarik bila memikirkan kontradiksi tegang yang wujud di antara sifat fizikal dan sikap rohani yang sering bertempur dalam hidup Raja Shahriman; seperti yang dimanifestasi lewat arca-arca, seni instalasi dan lakarannya dan dizahirkan melalui jatidirinya.

Acara 'Gebang Seni bersama Raja Shahriman' anjuran Yayasan Kesenian Perak yang berlangsung di Rumah YKP pada bulan September lalu, ternyata tidak sia-sia; terutama bagi sebahagian para peserta yang telah sanggup meluangkan masa sehingga hampir enam jam untuk bersama dengan pengarca mapan anak kelahiran Bandar Di Raja Kuala Kangsar ini. Raja Shahriman Raja Aziddin merupakan graduan Sarjana Muda Senilukis dan Senireka (Seni Halus) dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) dalam bidang Arca. Kelibat beliau sudah mula menjelma dalam medan seni rupa negara semenjak tahun 1990. Undangan demi undangan pameran seni, bukan sahaja di dalam bahkan juga di luar negara seperti Jepun, Thailand, Jerman, Australia dan United Kingdom, membuktikan pengiktirafan kerabat seni kepada bakat Shahriman. Demikianlah sehingga karya-karya beliau menghiasi koleksi-koleksi seni puluhan kolektor dan institusi seni seumpama Singapore Art Museum dan Fukuoka Art Museum.

Ternyata jika dilihat pada riak wajah serta penampilannya yang damai, tiada siapa menduga bahawa Shahriman sebenarnya memiliki semangat juang yang membara di dalam nalurinya; di dalam susuk kecil dirinya senantiasa berperang di antara keperluan materialisme kesenimanan dengan kehendak keabdian spiritualisme yang ingin didokongnya. Perkara inilah yang menjadikan transisi pengkaryaannya dari dulu hingga kini unik dan menarik lantas tidak jemu diapresiasi dan dikaji oleh para pengkritik dan pencinta seni rupa Malaysia. Perubahan pengkaryaan seniman mempamerkan perkembangan kematangan seniman hasil dari seluruh 'pembacaan' yang dilakukannya terhadap seni dan kehidupan. Polemik perihal penggunaan figura dalam pengkaryaan seni dan budaya, terutama dari sudut pandang syariat mahu pun teologi Islam, yang hingga kini masih tidak terungkai sepenuhnya, seringkali membuatkan seniman ini gelisah hadir dalam dilema agama dan konflik seni. Topik sensasi yang berterusan menjadi kontroversi ini pernah menyebabkan berlakunya perdebatan ilmiah (dan kadang kala personal) di antara 'pendakwah Seni Islam' Sulaiman Esa dengan penggiat seni dan budaya tempatan yang lain. Sulaiman, pada satu tahap pengkajian dan penciptaan seninya, telah mengharamkan sepenuhnya penggunaan figura makhluk hidup pada mana-mana ciptaan seni, meski pun berformat dua dimensi tanpa berlembaga. Untuk pendokong-pendokong 'mazhab' seni Islam sedemikian, karya-karya seharusnya seluruhnya menggendong elemen-elemen rohaniah yang literal yang mampu membawa semacam mesej 'dakwah' ke arah akidah ketauhidan; contohnya corak arabesque, kerawang tumbuhan dan seni khath (mungkin ala pemahaman Lamya' Faruqi). Penghasilan arca figuratif, walau pun demi tujuan seni semata-mata, ditakuti boleh di'berhala'kan oleh kelompok manusia ekstrim seni dan ini dikhuatiri akan membawa natijah 'gelincir akidah'kepada kedua-dua seniman dan peminatnya.

Shahriman sendiri mengakui, sebagai seorang seniman muslim, beliau tidak boleh lari dari hakikat percanggahan yang ada di antara nilai Islam seperti yang dituntut oleh kehendak-kehendak hukum fiqh, tauhid dan sufi, dan nilai seni modenisme yang menghalalkan segala yang mungkin atas makna seni dengan elemen-elemen formal, konsep dan konteks yang lebih terbuka. Dan pertempuran inilah yang berterusan berperang dalam minda dan akal beliau lantas terzahir ke dalam pengkaryaannya. Justeru jika diteliti, terdapat satu tahap yang menarik namun menggusarkan di dalam kerjaya Shahriman. Setelah siri 'Gerak Tempur'yang memaparkan arca-arca penuh organik dan figuratif, sehingga mendapat liputan dan sambutan hebat komuniti seni rupa, beliau tiba-tiba kelihatan kaku dan hilang arah estetika dengan karya-karya siri 'Api, Bayangan dan Kemenyan'. Ramai pemerhati seni rupa menyatakan kerisauan terhadap penciptaan karya-karya beliau melalui pameran solo kedua itu. Arca-arca dinding yang lebih berbentuk relief, dipenuhi dengan unsur dekoratif serta nampak kurang mantap dari segi teknikal dan pengolahan bahan, ternyata sedikit sebanyak telah menggugah prestasi kesenian Shahriman. Meski pun pada dasarnya, siri 'Gerak Tempur' tidak mengambil bentuk sempurna manusia, yang mana hampir 80% diubahbentuk (stylized), dimujaradkan dan banyak menampilkan representasi pergerakan (gesture) silat semata-mata, Shahriman dengan berpaksikan ilmu yang dituntutnya, masih was-was dengan keterlanjuran di dalam menghasilkan siri tersebut.

Namun…begitulah perjuangan kental Shahriman yang cuba menyatakan keharusan berseni sekiranya masih utuh memegang garis-garis sempadan ilahi. Kini beliau kembali dengan semangat baru selepas mendalami renungan dan kajiannya terhadap seni, agama dan pengalaman kehidupan sekitarnya. Cubaan untuk menghasilkan karya-karya 'ori' seperti dulu nampaknya lebih berkesan. Dua buah karya terkini beliau telah dipamerkan sempena 'Gebang Seni' dan membuatkan saya dan rakan-rakan seni lain menarik nafas lega. Walau pun arca kali ini diolah sekerat-sekerat, maksudnya tidak berkaki, cukup sekadar pinggang ke atas, kekuatan nilai plastis, bentuk, estetika dan tekniknya masih terserlah. Shahriman tidak perlu gusar tentang kemungkinan ciptaan seninya mengganggu kestabilan akidah seseorang kerana segala perlakuan itu terletak kepada nawaitu masing-masing. Sulaiman Esa semenjak pameran 'Aku: Potret Diri' (1999) di Galeri Petronas, sudah mula menyulam pelbagai imej figura dan ikonografi agama di dalam catan-catan seni terbarunya; lebih segar dan lebih banyak isu yang dapat diketengahkan; bukan lagi paparan corak berwarna warni semata-mata. Karya seni perlu wujud dalam hidup insan sebagai pendorong kekuatan dan kepuasan estetik (aesthetic pleasure). Karya Shahriman secara personal mampu mengingatkan kita kepada Pencipta bahan besi dan kejadian kreativiti itu sendiri.

Antara anugerah yang telah diperolehinya adalah seperti Anugerah Minor, Salon Malaysia pada tahun 1991 dan Anugerah Karya Terpilih untuk arca awam di Taman Wawasan, Public Bank Jalan Sultan Sulaiman, Kuala Lumpur bertajuk "Growth With Equity". Karyanya yang bertajuk "Bumi Penyatuan" yang didirikan di laman Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perak Darul Ridzuan, Ipoh, begitu berdaya mengubah landskap awam tempatan. Kesan estetik arca tersebut amat berlainan daripada 'tugu-tugu replika' objek representasi setempat yang seakan menjadi semacam 'klise' nanar dalam penghasilan arca-arca awam seluruh Malaysia: buah durian, labu sayung, manggis, langsat, siput, penyu, senjata dan pelbagai lambang gergasi yang ditempa dengan simen ferro, gentian kaca dan kerangka besi oleh tukang-tukang jahil seni, tanpa nilai estetik tinggi demi me'lokal'kan karya seni…kononnya. Pembikinan sembrono replika-replika sedemikian, yang acapkali menjolok mata khalayak dan menjolok minda pencinta seni, cuma mengambil kira sekelumit elemen tempatan dan seakan mengetepikan sama sekali nilai-nilai kesenian, tentunya pengertian "public sculpture" itu sendiri. Namun arca awam yang terlahir dari tangan Shahriman lebih membuktikan kematangan bermain dengan unsur formal dan elemen kebudayaan serta sejarah tempatan.

Shahriman yang sering berpakaian simple dan beperwatakan bersahaja, sesungguhnya menyimpan banyak sejarah peribadi yang menarik; bukan hanya untuk perkongsian cerita tetapi mungkin penting sebagai faktor-faktor personal yang mempengaruhi susurgalur perjalanan seni beliau. Kisah-kisah silam yang diceritakan di awal acara 'Gebang Seni' menunjukkan betapa kesan-kesan psaikologi seniman boleh mempengaruhi pengkaryaan mereka. Pengkisahan beliau di zaman kampus ITM, tentang keintiman melampau beliau dengan seni rupa semasa usia remaja, tentang inspirasi yang menyumbang kepada penghasilan karya-karyanya, dan pelbagai lagi bahan informasi tentang dirinya yang tidak bisa diselongkar dari mana-mana sumber sekali pun, telah memafhumkan para peserta pada hari itu terhadap kesenimanan dan kesenian Shahriman. Shahriman telah membuktikan bahawa seni dan diri seniman sesungguhnya dua unsur yang saling berkait: keperibadian dan jalur historikal seniman dapat dimengerti menerusi hasil karya mereka, dan begitulah sebaliknya, seandainya kedua-dua itu dianalisa secara kritis.

Semua yang bergelumang dalam dunia seni rupa Malaysia tentunya memperakui bahawa salah satu kekuatan arca-arca Shahriman adalah penguasaan mantap beliau terhadap aspek teknikal. Jika diselidiki, beliau hampir berjaya menggabungkan kaedah tradisional dengan metodologi moden. Dan penyatuan itu tidak sesekali mencacatkan aspek estetika karya beliau, bahkan menyerlahkannya lagi. Paling berbaloi apabila pengarca ini telah sudi berkongsi ilmu dan rahsia teknik penempaan besi. Acara demonstrasi menempa besi telah membuka mata ramai bahawa bukan mudah untuk menghasilkan arca-arca besi apatah lagi pada skala yang besar dan rekabentuk yang kompleks. Maka dengan itu, tidak menghairankan apabila karya-karya beliau menjadi rebutan ramai dalam setiap pameran solonya (terakhir pada tahun 2001 di Galeri Petronas, Kuala Lumpur.) Karya besi yang eksklusif dan mempunyai tahap estetika yang par excellent sudah tentu membuat si kolektor terngigau-ngigau untuk memilikinya, walau pun kadangkala nilainya mencecah puluhan ribu ringgit. Mengapa sampai begitu? Ketika meng'apresiasi' karya Shahriman, "Gerak Tempur", Dr Zakaria Ali menulis di dalam kertaskerja yang dibentangnya di Rumah YKP awal tahun ini, 'kekerasan (di dalam arca Shahriman) hampir mencapai taraf kultus'. Dengan teknik kreatif pengolahan logam dan kepekaan kepada formalisme, pengarca berupaya menyempurnakan anatomi dan gerak badan yang realistik serta mendampakkan unsur ekspresif yang mengkagumkan. Lantas, "Gerak Tempur" berjaya mewujudkan satu kuasa dramatik, meralitkan renungan pemerhatinya.

Bagi Shahriman, orang Melayu sebenarnya punyai sejarah teknologi yang setanding dengan masyarakat lain. Namun mereka lebih mengkagumi aspek magis dan pseudo-spiritual sehingga kemampuan teknologi itu untuk berkembang terbantut. Mereka yang terlibat secara langsung dengan budaya pembuatan tradisional terlampau asyik dengan elemen jin, rahsia guru, batin dan seumpamanya. Kelemahan ini terus melanda pandai besi-pandai besi Melayu dan natijahnya mereka terhimpit dengan kehadiran teknik-teknik moden dan istilah-istilah baru. Demonstrasi beliau yang disulami dengan anekdot-anekdot ilmiah dan mistikal, tidak kurang menyedarkan para peserta tentang kehebatan ilmu teknologi bangsa Melayu terutamanya di dalam pembikinan senjata keris, yang makin pupus ditelan zaman. Mereka yang hadir pada hari itu kagum dengan kemahiran Shahriman, bukan sahaja dari segi teknik tetapi juga kelancaran beliau menggunakan istilah-istilah moden untuk menerangkan kaedah-kaedah warisan silam.

Apabila memikirkan hayat dan halatuju khazanah-khazanah budaya Melayu yang lain, Shahriman menyatakan kekecewaan dan kegelisahan beliau. Kaedah-kaedah warisan sebenarnya memiliki kemampuan dan kekuatan untuk diketengahkan. Namun kejahilan masyarakat sekarang dan keghairahan mereka dengan kemodenan yang diimpot dari negara maju menidakkan hal tersebut. Contohnya, teknik tradisional penempaan besi dan lain-lain metod seni lama wajar dijadikan subjek wajib di institusi pengajian tinggi seni rupa. Banyak negara lain seperti Jepun dan England telah pun mempraktikkan perkara ini di mana wujudnya pembelajaran seni dan kraf tradisional di samping ilmu-ilmu seni moden untuk memantapkan kemahiran penuntut-penuntut dan menyelarikan perkembangan seni dan budaya tradisi dengan seni moden. Mengapa di Malaysia elemen-elemen budaya silam dianggap anakronistik dengan bidang seni kontemporari? Sehingga pelajar-pelajar seni rupa yang prihatin terpaksa belajar sendiri, menuntut dari pandai-pandai yang bilangannya kian berkurangan; ditambah pula dengan kefahaman mereka terhadap seni moden sedikit dangkal, sedikit janggal. Walhasil, seniman-seniman teraba-raba mencari identiti untuk mendefinisikan "Seni Rupa Malaysia". Justeru seminar demi seminar, kolokium berganti simposium, namun konsep kebudayaan nasional masih terus perlu diperjelaskan.

Berpeluang berbicara dengan seniman 'besi' ini hingga ke dinihari, perasaan ingin tahu saya semakin bertambah. Shahriman tidak pernah lokek berkongsi pengalaman, ilmu serta aspirasi beliau tentang seni dan kehidupan. Sifatnya yang terlalu humble itu membuatkan sesiapa saja tidak mahu berganjak apabila berpeluang mengupas dengan lebih dalam teori-teori seni dokongannya. Kini beliau lebih senang berkhalwat di studionya di Kuala Kangsar, mencari ide-ide seni yang segar namun tidak lari dari landas-landas ilmu yang dikecapinya. Shahriman sangat beruntung kerana sering menerima kunjungan teman-teman seniman dari seluruh negara, yang sanggup bersengkang mata demi wacana-wacana impromptu yang sedikit sebanyak dapat membantu justifikasi pengkaryaannya. Sesungguhnya, kehadiran Raja Shahriman dan karya-karya seninya telah memartabatkan lagi sejarah perkembangan seni rupa Malaysia.

 View on a single page

User Comments

posted by pengkaji seni
boleh x sesape terangkan maksud atau teori berkenaan seni kontemporari nie..... adakah seni kontemporari lebih bagus dari moden art.....????
tolong email kat saya....

 

posted by hanif
saya pelajar mrsm taiping ingin meminta pandangan atau pendapat tuan saya mengambil spm pada tahun ini,tajuk kertas tiga saya ialah membuat arca senjata tradisional,saya harap tuan dapat beri idea2 bernas atau pandangan tuan.

 

posted by zana
assalammualaikum. saya student UPU.saya ingin bertanya mengenai apa pendapat tuan mengenai kreativiti dalam menghasilkan sesuatu hasil seni terutama dalam penghasilan seni kraf?bagaimanakah kita mahu memupuk kreativiti seseorang pelajar dan mempraktikkannya dalam pengajaran kita.terima kasih

 

Related Links

    print | e-mail to a friend | post comment