


28. 10. 2002
Geografi, Nafas Islam Dan Mawar by Faisal Tehrani
Seperkara tentang penulis bernama Mawar Shafei ialah beliau boleh membawa kita ke sebuah mandala lain, melihat keagungan Tuhan – geografi dan segala ilmu berkait dengannya. Kemudian menyedarkan kita, manusia harus bersyukur, beruntung dan merenung kembali ke dalam diri. Itulah kesan membaca karya-karya Mawar.
Mawar Shafei yang mencipta nama dalam tahun-tahun 90 an, adalah seorang penulis yang menguasai bahasa dengan baik. Lembut orangnya, halus bahasanya dan gubahan karyanya menjadi segar. Cerpen Zel yang pernah memenangi Hadiah Sastera Perdana 96/97 adalah salah satu contoh. Manusia di dalam karya-karyanya sering bertingkah tetapi akhirnya melihat ke dalam diri, sesuatu yang harus banyak-banyak kita lakukan sepanjang Ramadhan ini.
Mawar Shafei (ya, ini nama sebenar) lahir pada 27 Februari 1971 di Singapura (tetapi Mawar orang Malaysia) adalah salah seorang pensyarah di UKM dan sedang melanjutkan pengajian peringkat doktorat di Nanyang Technological University, Singapura. Salah seorang penulis yang tahan uji sehingga hari ini (ujian untuk menjadi penuliskan banyak!), Mawar juga menulis dalam genre esei/kritikan sastera.
Kumpulan cerpen Mawar sudah terbit, Montaj II sudah ada di pasaran malah. Karya-karya Mawar sering dikatakan ‘sukar’ oleh adik-adik di sekolah. Laras bahasanya lembut, nadanya lambat, paduan ilmu bantu sebati dan terma serta kalimat istilah geografi dengan glosari bukanlah bacaan mudah untuk adik-adik yang sukakan bacaan santai. Tetapi karya-karya Mawar sebahagian besarnya, kaya dengan falsafah dan melihat semula kewujudan diri manusia di sisi Tuhan. Ia bukan untuk satu kali baca, ia untuk dibaca berkali-kali, perlahan-lahan dicerna dan lambat-lambat akan mengerti. Justeru ia berbaloi dimiliki.
Kumpulan cerpen ini sesungguhnya menghimpun 17 cerpen-cerpen terbaik Mawar. Beberapa darinya memenangi sayembara dan anugerah-anugerah sastera yang berprestij di Malaysia. Membacanya membuat kita dikayakan oleh pengetahun geografi, falsafah, IT, perubatan dan dunia yang makin rencam oleh globalisasi.
Untuk pertanyaan lanjut, hubungi Mawar di mawarzahar@hotmail.com atau boleh melawat lamannya di www.geocities.com/mawarshafei71. Bagi mereka di sekitar Kajang, boleh juga mendapatkannya di No 11, Jalan Hentian 3, Pusat Hentian Kajang.
User Comments
| posted by mas |
| saya nih mmg minat karya mawar..bagitu juga dgn penulis2 lain..sayangnya ada juga usaha nak dapatkan montaj nih...unfotunately dia skg further study..so bila dapatkan buku tu kat UKM mmg tak dapat...kat kedai buku biasa tak jumpa lagi setakat ni...camner yer nak dapatkan..saya mmg berminat..ada juga cerpen2nya yg agak berat dan sukar nak difahami...apepun saya respect dgn kegigihannya dan karya2nya survive hingga kini..
|
Related Links
print | e-mail to a friend | post comment




