search web kakiseni
[ go ]

member login

register now | why register?
registration/login problems?



BOH Cameronian Arts Awards

"Art evokes the mystery without which the world would not exist."

- Rene-Francois-Ghislain Magritte
You are not logged in.
articles

 View on a single page

21. 11. 2002
Taring Padi by Nur Hanim Mohamed Khairuddin

Awal September lalu saya telah diundang Yayasan Seni Cemeti untuk berpameran di Taman Budaya Jogjakarta sempena 'Pameran TALI IKAT-Fiber Connections'. Pameran yang dikurasi oleh Anusapati, Satya Brahmantya, Aisyah Hilal dan Mella Jaarsma ini diadakan selama dua minggu dengan penyertaan dua puluh orang perupa dari dalam dan luar Indonesia dan diatur sempena Festival & Lombak Batik Internasional Motif Jogjakarta II. "Pameran ini mencuba untuk melihat pelbagai gejala yang muncul dalam praktik seni rupa yang berkait dengan penggunaan material serat di dalam berbagai perwujudannya," kata Anusapati dalam katalog pameran.

Namun begitu, tujuan saya menulis bukanlah untuk memperkatakan tentang pameran tersebut, sekadar menyebut sebagai relevensinya pemergian saya ke kota seni dan budaya yang semakin gagah di Indonesia itu. Apa yang lebih ghairah untuk dikongsi bersama adalah pengalaman yang terhasil dari pertemuan dengan sebuah kelompok seni independennya yang sudah menempa nama hingga ke peringkat antarabangsa. Sebelum berangkat ke Indonesia, seorang teman aktivis telah beriya-iya mempromosi sebuah kolektif artis bernama Taring Padi (TP) dengan merujuk kepada karya-karya serta konsep dan pegangan seni mereka sebagai perkara yang sangat menarik, justeru wajib dilawati. Pada awal pagi tanggal 4 September bermulalah ekspedisi seni saya di kota Jogja. Bertemankan seorang krew pameran, kami bermotosikal, meredah jalan yang sentiasa sibuk; lantas melalui jalan pintas demi menjimatkan waktu.

Kedatangan saya telah disambut oleh ahli TP yang kebanyakannya terdiri daripada graduan Universiti Gajahmada dan Institut Senirupa Indonesia (ISI)¾Shigi, Tony, Acong dan beberapa orang dari sekitar 20 ahlinya yang terdiri daripada artis, pemusik dan aktivis budaya; di tubuh mereka ada yang penuh dengan kerawang-kerawang tatoo, berambut dreadlock dan bertindik di hidung, kening, bibir, telinga dan entah di mana lagi. Pada mulanya perasaan 'cuak' memang timbul, apatah lagi sebagai seorang pengunjung dari Malaysia yang seharusnya tidak berada di sana akibat polemik sentimen anti-Malaysia yang tercetus tatkala itu. Namun saya sentiasa berpegang kepada kata-kata 'do not judge a book by its cover', walau pun isu kontroversial Tenaga Kerja Indonesia (TKI) di Malaysia timbul sekali-sekala di celah-celah bicara kami.

TP semenjak 1998 bersetinggan, dalam ertikata bermastautin, di sebuah bangunan besar tinggalan Fakulti Senirupa ISI yang kini telah berpindah ke bangunan baru yang lebih gah dan cukup fasilitinya. Dipercayai pemindahan kampus itu adalah satu langkah kerajaan untuk mengekang gerakan pro-demokrasi dan reformasi yang meledak di persekitaran kampus dan menjadi pusat kempen politikal anti rejim Suharto. Bilik-bilik kuliah dan ruang-ruang studio masih digunakan oleh kolektif TP sebagai tempat bekerja, bermesyuarat, diskusi, persembahan, gig dan happening. Mereka hidup dan berkarya dalam timbunan pamflet politik, zine, poster, poskad dan t-shirt (seni cetakan kayu), patung wayang, kanvas dan arca.

Sebagai sebuah komuniti kebudayaan non-profit yang berteraskan budaya kerakyatan dan berpegang teguh kepada konsep mandiri DIY, TP hidup dengan persekitaran seni yang sungguh unik; bercucuk tanam, menternak ayam itik dan mencari rezeki dengan jualan merchandise hasil kreatif mereka di pasar-pasar malam seperti cetakan poster, komik, t-shirt dan produksi musik yang mengandung unsur-unsur realisme sosial (atau realisme sosialist?) dan protes sosio-politikal. TP yang menjunjung motto 'Tolak Seni Untuk Seni', amat gelisah dengan kerenah kaum borjuis dan menentang hebat pegangan seni kaum kapitalis. Sebaliknya mereka menekankan bahawa 'setiap insan adalah seniman' dan berjuang untuk memasyarakatkan seni. TP yang aktif dalam proses demokrasi di Indonesia dan memperjuangkan pembebasan untuk rakyat dan alam dari ketertindasan, amat prihatin kepada perubahan masyarakat. Demikian, karya-karya serta usaha mereka bertitiktolak dari dialektika yang bergerak di dalam dinamika masyarakat persekitaran; mereka mengangkat tema-tema kerakyatan dan realiti sosial. Menganut gagasan bahawa manusia adalah makluk sosial yang bergantung kepada alam sekelilingnya untuk melangsungkan kesejahteraan hidup, mereka membuka 'gampingan' kepada masyarakat luar terutama golongan marginal; menawarkan fasiliti kegiatan kreatif, mengadakan bengkel-bengkel dan kelas-kelas pembelajaran (seperti pengkaryaan zine dan komik), menyediakan fasiliti untuk pertunjukan teater, pentas musik, ruang pamer, festival budaya dan sebagainya.

Komited terhadap aktivisme budaya, musik dan kesenian, TP mempunyai hubungan intim dan rapat dengan gerakan-gerakan marhain seperti petani dan kedana kota. 'Festival Mendi Sawah (orang-orang / scarecrow)' bermaksud menyediakan ruang dialog dengan masyarakat marhain dan belia kampung untuk saling bertukar ilmu di mana isu-isu kreativiti dan sosial menjadi dialektikal. 'Malam Budaya Bulan Purnama' pula diadakan setiap bulan sebagai platfom ke arah kesedaran sivil melalui kebudayaan. TP juga menganjurkan festival seni atau gig untuk kemanfaatan masyarakat yang tertindas. Hasil kutipan dari caj tiket atau sumbangan khalayak untuk acara-acara anjuran mereka dijadikan dana untuk membeli keperluan ruji khalayak miskin seperti beras, minyak dan makanan. Bunyinya seperti kisah Robin Hood, tetapi itulah kenyataan dan sumbangan ikhlas kelompok yang memandatorikan fungsi mulus seni untuk kemartabatan hidup masyarakatnya.

Dalam sejarah perjuangan bangsa moden Indonesia, patung wayang, sepanduk dan seni persembahan sering digunakan sebagai alat propaganda di rapat-rapat umum politik dan perarakan protes. Ahli-ahli Persatuan Ahli Gambar Indonesia (PERSAGI) seperti Sudjojono dan Mochtar Apin menghasilkan poster-poster dan cetakan kayu/lino untuk menyemarakkan semangat nasionalisme rakyat sekitar Revolusi Ogos 1945. Keterlibatan TP dalam emansipasi politik, proses demokrasi, keadilan sosial dan reformasi Indonesia turut menggunakan mural dan patung wayang gergasi, sepanduk dan poster untuk mendidik dan mencetus budaya kritis dalam masyarakat. Gerakan pelajar 1998 yang berjaya menumbangkan raksaksa rejim Orde Baru adalah atas dayausaha kolektif-kolektif budaya dan intelektual seperti TP, Jaringan Kerja Kesenian Rakyat (JAKER, pimpinan Wiji Thukul) dan Kelompok Seni Rupa Bermain (KSRB, pimpinan Saiful Hadjar), yang instrumental menggerakkan protes dan persembahan budaya, samaada radikal atau pun masih dalam kerangka kritisisma konstruktif.

Selain daripada penerbitan bulanan 'Terompet Rakyat' dan pengedaran poster-poster seni cetak kayu sebagai komentari konflik etnik dan agama sepanjang Pemilu 1999, TP juga menghasilkan patung wayang gergasi 'Anti-militarisme' di Festival Seni Yogyakarta bulan Julai 1999, dan mempersembahkan lukisan-lukisan kain rentang gergasi seperti 'Pengungsi I' dan 'Pengungsi II' pada 'Malam Solidariti dengan Pengungsi Aceh', 1999. Kehadiran ahli-ahli dan pesimpati TP di setiap gelanggang demonstrasi dan protes membuktikan kesungguhan mereka di dalam merealisasikan idealisme baru warga muda Indonesia.

Menjelajah ruang studio 'Kampung Asri' TP, saya terasyik melihat iltizam insan-insan TP meluahkan ekspresi amarah mereka melalui estetika seni cetakan kayu, arca dan catan yang kuat dari segi konteks dan kontennya; memaparkan elemen-elemen protes yang vokal dalam mempersoal polemik dan isu semasa. Begitu juga dengan lakaran-lakaran figura dan teks grafitti yang memenuhi setiap dinding bangunan menyerlahkan kreativiti dan nilai artistik penuh angst, diskursif dan paradigmatik. Poster-poster yang memakai warna-warna garang dihasilkan secara manual dengan peralatan yang agak sederhana. Menurut Shigi, poster-poster jalanan tersebut mewakili suara rakyat tertindas yang dulunya sering tenggelam oleh iklan-iklan kapitalisme dan logo-logo parti politik memenuhi dinding-dinding publik. Begitu juga dengan papan tanda (billboard) kanvas mudah-alih yang dibuat sebagai sarana menawarkan perspektif dan corak wacana yang berbeza dari kelaziman promosi konsumerisme dan propaganda persuasif pemerintah.

Kreativiti ahli TP terserlah apabila saya merenung beberapa patung wayang bersaiz besar dan berfungsi; terhasil dari inovasi mereka mengitar bahan-bahan buangan seperti kadbod, kayu dan buluh. TP berpendirian, patung wayang merupakan tradisi kesenian Indonesia yang sering ditunggang oleh golongan elit/borjuis untuk menghalalkan gelagat dan kewujudan mereka sambil mempersenda kaum bawahan/marhain. Oleh itu penghasilan dan persembahan patung wayang protes oleh TP adalah sebagai suatu kontradiksi; menceritakan naratif isu sosial kaum atasan dengan nada kritikal dan sinikal seraya mengagungkan keberadaan rakyat jelata.

Sebagai satu ekspresi dasar manusia, TP juga mengangkat seni sastera dalam pelbagai genre seperti puisi, cerpen, novel, lirik lagu dan sebagainya agar menjadi 'media pembebasan untuk orang yang tidak biasa/bisa bersuara.' TP yang sedar peri pentingnya kebebasan berfikir, bertindak menyediakan sebuah media yang murah, kreatif, mudah difahami, tidak bersikap didaktik serta bebas dari hegemoni kuasa dan kongkongan pemerintah. 'Terompet Rakyat' adalah sebuah zine independen bulanan yang diterbitkan semenjak 1998 sebagai ruang ekspresi dan interaksi. Penubuhan Lumbung Press pula bertujuan untuk mengeluarkan buku-buku kreatif, inovatif, independen dan murah.

Selain patung wayang, TP turut aktif mengaplikasi cabang seni persembahan yang lain di dalam gerakan kebudayaannya iaitu genre musik dan aksi jalanan. Di bawah naungannya, ada kumpulan musik Black Boots, Teknoshit dan Dendang Kampungan. Dendang Kampungan, sebuah band kolektif yang tidak mempunyai anggota tetap, menghasilkan lagu-lagu berkisar isu-isu kemanusiaan dan alam sekitar. Sementara Teknoshit yang mengalun lagu-lagu berat berciri tekno (namun bersifat anti-discotheque), tidak lari dari memperkatakan isu kaum buruh, kelompok pinggiran, konflik sosial pasca-modenisme dan lain-lain. Seperti teater gerila, aksi-aksi jalanan (street performance) bikinan TP tidak terkongkong oleh batas ruang dan masa. Oleh itu ia boleh dilaksanakan di mana-mana, dapat ditonton oleh kebanyakan massa dan serasi dengan naluri teaterikal rakyat jelata. Aksi jalanan garapan TP merupakan satu bentuk ekspresi seni budaya yang memerlukan interaksi dinamik antara pelakon dan penontonnya.

TP juga kerap menerima kunjungan seniman dari luar negara yang selalunya berakhir menjadi semacam artis residen di sana. Pengunjung dari Malaysia, Australia, Jepun dan Amerika menumpang selama beberapa minggu kadangkala sehingga berbulan-bulan untuk mencari pengalaman dan bertukar-tukar ide serta mewujudkan kolaborasi pengkaryaan. Kehadiran TP dalam konteks budaya, sosial dan politik Indonesia sungguh menakjubkan, justeru merangsang seorang pengkaji dari luar negara mengeluarkan sebuah tesis berkenaan aktivisme TP. Selain daripada itu, keterlibatan radikal dan vokal kolektif TP dalam kancah gerakan budaya Indonesia turut mendapat pengiktirafan masyarakat seni internasional apabila beberapa kali dijemput mengadakan pameran terutama di Australia.

Dalam konteks Malaysia, kita harus memikir kembali peranan hakiki seniman, tidak kira pelukis, pelakon, pemusik dan penulis dalam menjalankan peranan sebagai manusia-manusia seni. Seni tidak harus bersifat elitis semata-mata. Ia seharusnya menjambatani ruang di antara kelompok masyarakat awam dan kumpulan seniman. Pengucapan seni yang tulus dan meminimalkan keuntungan individualistik akan mampu menghijrahkan paradigma pemikiran intelektual setiap insan untuk perwujudan satu masyarakat madani yang bertamadun dan berbudaya ampuh.

 View on a single page

User Comments

posted by "Mel_esa", Tue 20.11.200715:51:46 PM
Setuju...
Buat Teman-teman Taring Padi
"Tetap Semangat dan Terus berkarya"
Sampai ketemu lagi
Miss U

Oh iya ada yang kelupaan...
buat teman-teman yang laennya Terus Berkarya yachhhh

 

posted by "Mel_esa", Tue 20.11.200715:43:52 PM
Setuju... Buat Teman-teman Taring Padi
"Tetap Semangat dan Terus berkarya"
Sampai ketemu lagi
Miss U

 

Related Links

    print | e-mail to a friend | post comment