



05. 12. 2001
Rampai Sari: “Spinning Gasing” dari A ke Z. by Amir Muhammad
A untuk ARIFF. Watak seorang Melayu yang nyah, dipegang oleh Edwin Sumun - tonjolan tentang sifat nyah lebih meyakinkan daripada kemelayuannya. Saya menunggu pembongkaran identitinya sebagai seorang anak angkat tapi penantian saya sia-sia.
B untuk BELANJAWAN. Ia berharga RM2.5 juta, tetapi jika dibandingkan dengan filem-filem yang lebih mahal seperti “Syukur 21” (RM3.5 juta) dan “Silat Lagenda” (RM5 juta), nilai produksi dan tahap profesionalisme yang terhasil mengagumkan dan memberangsangkan.
C untuk CHANTAL. Watak kacukan Perancis-Cina yang mua dan mengada-ngada dibawa oleh Corinne Adri. Watak yang mendapat antara dialog terbaik dalam filem ini seperti “Kamu memang patut dijatuhkan hukuman oleh Allah!” dan juga dialog terburuk seperti “ Kamu berdua tidak boleh bercampur, mustahil kamu boleh bergaul.”
D untuk DADAH. Pencipta lagu terkenal Loloq berlakon sebagai penjual dadah yang penyayang. Watak yang jarang terdapat di dalam filem Melayu yang mana selalunya watak tersebut dilakonkan oleh para pelakon yang berperwatakan jahat - semangat filem ini harus dipuji.
E untuk ENGLISH (Inggeris). Akhirnya, Malaysia berjaya mengeluarkan filem dalam Bahasa Inggeris yang menelan belanja yang agak besar. Filem ini nampak lebih natural berbanding dengan filem “Mimpi Moon” namun masih terdapat lagi dialog yang agak janggal seperti , “Awak dinamakan sempena dengan nama tokoh politik?” diungkapkan oleh Yati dengan nada tidak percaya. Agak pelik kerana orang Malaysia tidak akan merujuk Lee Kwan Yew semata-mata sebagai tokoh politik. Adakah ungkapan-ungkapan seperti ini lebih ditujukan kepada rakyat asing yang tidak tahu atau kepada kita?
F untuk FOLEY. Tumpukan perhatian pada bunyi objek-objek – sebuah beg yang diletak di atas lantai, anak kunci yang dipusing di dalam induknya. Semua ini telah dibuat dengan teliti semasa pos-produksi di sebuah studio bunyi di Australia. Kualiti bunyi adalah yang terbaik kerana kerja-kerja foley ini adalah rumit dan padat, dan dialog telah dirakam di lokasi dan bukan dabing kosong. Sudah tiba masanya Malaysia mengeluarkan filem yang sedap didengar.
G untuk GANGSTER (samseng). Berjeket kulit hitam dan bertatu, mereka kelihatan seperti baru selesai berlakon filem Leon Lai “Bullet of Love”. Gaya mereka agak tidak sesuai dengan rentak filem dan kemunculan mereka di penghujung cerita lebih berupa a deus ex machina. Pada pendapat saya, penggunaan watak penyangak (seperti penjaga empangan dari cerita “Dari Jemapoh ke Manchestee” ataupun watak lelaki yang mempunyai 3 testis dalam cerita “Lips to Lips”) merupakan jalan mudah untuk mendapatkan pendekatan naratif.
H untuk HARRY LEE. Ketua kumpulan ini, watak pemuda Cina yang mempunyai pemikiran yang bercanggah dengan bapanya. Malangnya pelakon ini seolah-olah dramatis lulusan Sekolah Seni Drama Keanu Reeves.
I untuk ISLAM. Dialog Yati : “Jika kau peluk Islam, kamu bukan lagi dirimu yang dulu.” Merujuk kepada kerumitan dan masalah yang berkait dengan perlaksanaan agama rasmi di negara ini. Memang menjadi masalah jika orang yang memeluk Islam difikirkan perlu membuang segala cara hidup sebelum mereka memeluk Islam biarpun sejarah telah membuktikan bahawa agama ini suatu entiti yang majmuk serta poros.
J untuk JJ. Lelaki India yang merupakan maskot kumpulan tersebut. Wataknya tidak ubah watak-watak bawaan pelakon kulit hitam Amerika seperti Chris Rock atau Martin Lawrence yang memainkan watak komedi. Dialog ajaibnya “Orang India sering disalahkan” pasti melucukan.
K untuk KLCC. Merupakan lokasi wajib bagi kebanyakan filem tempatan. Lokasi ini digunakan sebagai latar belakang Yati menjual jam tangan tiruan. Saya amat gemari ejekan tentang perbandingan realiti dengan inspirasi. Itu shot yang amat menarik.
L untuk LEMBAGA PENAPISAN FILEM. Badan penapisan telah bekerja keras menapis adegan yang berunsur agama dan sex dari filem ini. Dalam beberapa babak, penapisan yang dibuat telah menjadikan plot cerita lebih mengemparkan. Contohnya babak Yati ketika Yati menghampiri untuk memeluk Harry telah dipotong menyebabkan penonton membuat berbagai-bagai andaian tentang perlakuan antara Yati dengan Harry.
M untuk MISEGENASI (Percampuran Bangsa). Tema cinta antara kaum pernah ditonjolkan oleh filem-filem seperti “Tsu-Feh Sofiah” dan “Fenomena”, tetapi “Spinning Gasing” adalah yang pertama menimbulkan tentang ketidakserasian yang boleh timbul kerana berlainan kepercayaan agama. Walaupun tidak mendalam namun ia merupakan langkah penting dalam membawa industri perfileman kita lebih mendekati realiti kehidupan.
N untuk NIKOTIN. Erra Fazira merokok dalam filem “Gerak Khas The Movie” apabila dia berlagak seperti pelacur. Dalam filem ini, Yati merokok untuk menunjukkan perasaan gemuruh ketika menunggu Harry di lapangan terbang. Walaupun ianya tidak begitu penting tetapi perlambangan tersebut membezakan filem ini daripada filem-filem Yusof Haslam yang memang bertujuan untuk menghibur.
O untuk OBVIOUSNESS (sudah terang lagi bersuluh). Saya di bayangi aksi Ariff bertanya seorang budak yang memegang joran dan mata kailnya berada di dalam air sama ada dia sedang memancing. Adakah Ariff pemuda kota yang terlalu bodoh untuk bertanya soalan sebegitu atau adakah dia berseloroh/mengurat atau adakah ini cubaan Teck Tan meniru stail Harith Iskandar yang suka memperolok-olok cara orang-orang Malaysia yang suka bersuluh pada siang hari? Walaupun Harry 8 tahun di luar negara tidak mungkin dia tidak tahu maksud khalwat. Bahagian seperti ini nyata seperti usaha memeperkenalkan budaya, lebih daripada hanya bercerita.
P untuk PENGGAMBARAN. Teoh Gay Hian merupakan seorang jurugambar terkemuka negara. Imej yang diambil sungguh hebat tetapi kadang kala lebih kepada cubaan mempamerkan kecantikan tak ubah poskad seperti gambar KLCC, namun diimbangkan dengan ironis dalaman yang memang ada. Saya meminati beberapa pengambaran yang diambil Teoh Gay Hian di dalam filem “Perempuan Melayu Terakhir” (Seperti ketika Heikal berkayuh sampan di depan masjid).
Q untuk KUALITI. Sesuatu yang sukar untuk ditemui dalam filem-filem tempatan. Spinning Gasing membuktikan nilai produksi boleh dibeli. Tetapi pada hemat saya, keperibadian lebih tertonjol dalam filem “Jogho” dan “Dari Jemapoh ke Mancestee” walaupun kerja-kerja penyuntingannya kurang dan kaku serta sistem bunyi yang kurang memuaskan.
R untuk ROLEX. Jam tangan Rolex dan Mi Maggi sering diutarakan di dalam filem ini. Saya kurang pasti jika mereka penaja filem, tetapi perbezaan antara Rolex, jam jenama luar yang mahal berbanding Mi Maggi buatan tempatan yang murah merupakan satu padanan tema yang amat sesuai menggambarkan percanggahan.
S untuk SPINNING GASING. Gasing diberi keutamaan dalam tajuk sebagai metafora kehidupan di mana apabila gasing berhenti berpusing ia akan jatuh. Masyarakat dinamis dan berubah-ubah lebih disukai daripada kehidupan yang ortodoks dan statik Tajuk yang terdiri daripada dua perkataan dua bahasa berlainan juga memberi penghormatan kepada sifat kepelbagaian yang cukup berpotensi untuk menjadi aset utama Malaysia.
T untuk TERENGGANU. Entah apa sebabnya, kini negeri ini lokasi popular bagi cerita-cerita tentang konflik budaya dan fundamentalisme agama. (“Fenomena”, “Perempuan Melayu Terakhir”, “Syahadat”). Babak keluarga Yati yang bertutur dalam loghat KL kurang sesuai berbanding dialek “makang ikang” yang boleh membuat filem ini lebih menarik dan mempunyai unsur verisimilitud (kemungkinan besar).
U untuk ULEK MAYANG. Lagu rakyat ini diberi keutamaan dalam runut bunyi sebagai metafora untuk cinta terlarang. Saya dapati raptai tarian ini ketika di pantai seperti sudah berlebih-lebih apatah lagi adegan Yati seolah-olah pemandu pelancong memberikan penerangan tentang lagu tersebut. Melodi yang sama digunakan untuk kesan halus di dalam filem Melayu “Fenomena” di mana ia dikaitkan dengan kuasa alam sekeliling dalam proses penyembuhan.
V untuk VAN. Poster filem lebih kelihatan seperti iklan van mini.
W untuk WAU. Langsung tidak diberi keutamaan sebagai suatu metafora dalam “Spinning Gasing”.
X untuk X-FACTOR. Tiada seorang pun ahli kumpulan pop Melayu ini dipaparkan dalam “Spinning Gasing”. Secara keseluhuran filem ini tidak menunjukkan sebarang artis popular. Pujian patut diberikan oleh atas keberanian ini. Namun pada hemat saya kemunculan Jalaluddin Hassan tidak perlu di sini. Cukuplah!
Y untuk YATI. Watak wanita Utama yang turut merupakan tumpuan emosi dan moral filem ini. Dibawakan dengan baik dan dengan penuh perasaan oleh Ellie Suriaty Omar. Sekiranya diasah dan digilap, dia boleh menjadi bintang terkenal.
Z untuk ZAPIN. Tarian tradisional yang langsung tidak diberikan keutamaan sebagai metafora untuk sesuatu dalam “Spinning Gasing”.
-TAMAT-
Diterjemahkan oleh Abd. Latiff Bidin
User Comments
| posted by anak seni malaysia, Thu 29.01.200901:58:09 AM |
| sy minat utk berlakon.jd blh tak promote kan sy pd mana2 lobang utk berlakon.umur sy br 17 n no phone utk dhubungi ialah 0173420013.bANTU SY YA.sy benar2 ingin berlakon.tlg sy ya.
|
Related Links
print | e-mail to a friend | post comment




